Saturday, February 19, 2011

..:Merindui buku:..



 Inilah denai jejak seni ke hati,
puncak fikir yang indah sekali,
tanpa himpunan ilmu di kalbu buku
kita tak sempat sampai ke mercu itu.

Di sini diri sentiasa di taman
menikmati unggas dan puspa menawan;
di sinilah vista buku saraf seni,
meranum akal mematang peribadi.

Kita wajar berpesta di kalbu buku
menghayati nikmatnya seindah syahdu
dalam tenang waktu khusyuk di pustaka
lebih cepat kita terasuh dewasa. 

Buku adalah denyut nadi utama
penting bagi minda waras manusia;
dan buku juga gema fakir yang sakti,
nyaman dan mesranya sebuah simfoni.

Kita memupuk insan yang luhur budi
melalui tapisan hikmat berseni;
dan buku memang tasik aneka ilmu
yang perlu diselami sejujur kalbu.

Buku mengasuh diri sasa bersuara;
membaca menjadi jambatan
bertuah kita merindu buku dan
ghairah baca agar sentiasa canggih dan berhemah...

Tuesday, February 15, 2011

Natrah @ Nadra @ Huberdina Maria Hertogh @ Bertha : Cinta, Rusuhan, Air Mata




“Natrah adalah kisah cinta dua insan yang agung yang menyatu dengan kisah cinta bangsa Melayu kepada agamanya hingga mencetus rusuhan yang tragis di Singapura (1950)”

Kata Mereka.... 

“Jika isu Malayan Union telah menyebabkan orang Melayu bersatu di bawah satu panji, maka episod Natrah pula menggambarkan perpaduan umat Islam di seluruh Tanah Melayu, Singapura dan Indonesia. Natrah menjadi satu tragedi yang boleh dihayati dan dipelajari dan yang lebih penting membuktikan perpaduan seluruh umat Islam...”
Tun Daim Zainuddin
Mantan Menteri Kewangan

“Di tengah kehangatan kisah perbicaraan Natrah di Singapura, majalah Qalam menyiarkan gambar lukisan yang menunjukkan al–Qur’an terlepas dari tangan Natrah yang duduk bersimpuh. Maknanya sangat mendalam. Saya yang berusia lapan tahun pun faham ....”
Tan Sri Adam Kadir
Mantan Yang Di Pertua Dewan Negara

“Sesungguhnya penghasilan buku ini bukan sekadar biografi biasa. Menerusi watak Natrah penulis berjaya mengungkapkan pelbagai tema besar yang melingkungi kehidupan masyarakat ketika itu yang masih relevan sehingga kini... Garapan buku ini pula merentasi waktu yang panjang, dari sebelum Perang Dunia Kedua sehinggalah tahun 2009. Jangkauan kajian pula melibatkan kawasan geografi yang luas, dari Asia Tenggara ke Eropah hingga ke Amerika Syarikat ....”
Prof. Dato’ Ir. Zaini Ujang
Naib Canselor UTM

Pendidikan Saintis Muslim Era Kegemilangan Tamadun Islam


       Era kegemilangan tamadun Islam menyaksikan masyarakat Islam mencapai kegemilangan dalam pelbagai bidang termasuk sains. Kejayaan dan pencapaian para saintis Muslim dalam era tersebut adalah ditunjangi oleh proses pendidikan yang mantap dan bersepadu yang dilalui oleh mereka. Penelitian terhadap latar belakang pendidikan saintis Muslim era kegemilangan tamadun Islam adalah penting untuk mendapatkan penjelasan tentang kurikulum pendidikan yang dilalui. Biografi tokoh–tokoh saintis Muslim adalah sumber utama yang dapat menjelaskan tentang proses pendidikan mereka dari sudut bidang ilmu yang dipelajari dan institusi pengajian tempat mereka mendapat pelajaran dan latihan. Ringkasnya, kajian biografi para saintis Muslim merupakan kunci utama untuk mengetahui maklumat pendidikan mereka.

       Karya ini menampilkan sejarah dan latar belakang pendidikan beberapa orang saintis Muslim yang muncul pada era kegemilangan tamadun Islam, antaranya al–Razi, Ibn Sina, al–Biruni, dan Ibn Rushd. Fokus penulisan buku ini tertumpu kepada aspek pendidikan para saintis Muslim dengan memfokuskan kajian terhadap dua aspek utama, iaitu latar belakang pendidikan tokoh–tokoh saintis Muslim dan peringkat pendidikan yang dilalui oleh mereka. Kajian mengenai peringkat pendidikan yang meliputi peringkat asas, menengah, dan tinggi (termasuk universiti dan lanjutan) dibuat secara lebih khusus dengan melihat kepada kurikulum pendidikan dan bentuk pengajian di setiap peringkat.

       Buku ini sesuai digunakan sebagai rujukan dan bahan bacaan oleh pelajar, guru dan pensyarah, serta pembaca umum yang ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang proses pendidikan yang dilalui oleh para saintis Muslim pada era kegemilangan tamadun Islam.

Budaya Inovasi: Prasyarat Model Baru Ekonomi


“Buku ini memberi perspektif kreatif, inovatif dan produktif menjadi ramuan membina budaya inovasi sebagai prasyarat membolehkan Malaysia menjayakan Model Baru Ekonomi.”
Dato’ Sri Mohd. Najib
“Budaya inovasi adalah teras Model Baru Ekonomi. Buku ini memberi perspektif yang seimbang dan menyeluruh .... Peranan pengajian tinggi semakin kritikal.”
YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin
Menteri Pengajian Tinggi

“Inovasi perlu diterapkan di dalam minda, cara kerja dan gaya hidup. Buku ini membantu membudayakan inovasi dan meningkatkan produktiviti.”
Tan Sri Mohd Sidek Hassan
Ketua Setiausaha Negara

“Zaini mempamerkan bukan sahaja kaedah inovasi di dalam buku ini, tetapi pemikiran, gaya kerja dan budaya inovasi dalam kehidupannya. Kita memerlukan lebih ramai pemimpin dan pemikir yang berani melakukan inovasi.”
Dato’ Sri Tony Fernandes
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad


“Budaya inovasi bertitik tolak dari kefahaman dan penghayatan budaya ilmu yang tepat dan segar. Buku ini adalah karya Zaini Ujang yang paling menyerlah khusus tentang peranan pengajian tinggi dan minda berdaya cipta.”
Profesor Dr. Wan Mohd. Nor Wan Daud
Felo Penyelidik Utama ATMA

Mengenali Manusia: Asas Pembangunan Pendidikan Berkualiti



       Pendidikan merupakan satu isu yang sering kali menjadi fokus utama untuk dibincang dan dibahaskan dalam merencana pembangunan dan kemajuan sesebuah negara. Kegagalan memahami dan menangani isu ini akan mengundang kegagalan dalam menguruskan rupa corak kemajuan dan ketamadunan pada masa hadapan. Ketika kita sedang leka dengan nikmat kemajuan berasaskan perkembangan sains dan teknologi, sering kali pula kita dikejutkan dengan pelbagai masalah sosial yang tidak berperikemanusiaan yang melambangkan kejatuhan nilai akhlak dan tingkat ketamadunan tingkah laku manusia. Di manakah silap kita dalam mendidik dan membangunkan sumber terpenting negara ini? Oleh itu, penulisan ini mengajak pembaca untuk menganalisis dan memahami manusia dengan lebih dekat sebelum merancang dan melaksanakan proses pendidikan yang bersesuaian dengan fitrah kejadiannya.

       Buku ini sesuai sebagai bahan bacaan dan rujukan kepada bakal pendidik dan para pendidik yang perlu memahami cabaran yang perlu dihadapi dalam usaha melahirkan manusia yang terdidik, berakhlak dengan keperibadian tinggi dan berdaya maju serta pembaca umum yang berminat untuk mengenali keistimewaan diri mereka sendiri.

Notasi Lagu Muzik Gamelan


       Gamelan lebih dikenali di Malaysia sebagai sebuah orkestra muzik tradisional yang dimainkan secara berkumpulan untuk dipersembahkan dalam pelbagai bentuk majlis. Pada awal kemunculannya tahun 1800-an, gamelan hanya dapat didengari alunannya di istana sahaja. Kini, gamelan telahpun dimainkan di luar istana dan berkembang menjadi sebahagian daripada kesenian bagi masyarakat umum di Malaysia.

       Buku Notasi Lagu Muzik Gamelan ini mengandungi notasi lagu gamelan hasil ciptaan penulis yang selalu dimainkan untuk persembahan pada majlis rasmi Universiti Teknologi Malaysia dan jemputan masyarakat umum. Turut diselitkan juga beberapa buah lagu gamelan Melayu yang sedia ada sebagai bahan perbandingan. Buku ini dilengkapkan dengan penerangan ringkas tentang seni gamelan, cara penggunaan alat muzik gamelan, dan panduan untuk memainkan lagu-lagu gamelan serta keterangannya.

       Buku ini sesuai digunakan sebagai panduan untuk kumpulan gamelan yang ingin memulakan permainan muzik tradisional gamelan dan juga untuk dihayati oleh peminat dan pencinta seni gamelan.

Budaya Usahawan Berjaya





       Bidang keusahawanan dan perniagaan merupakan satu bidang yang dipandang mulia oleh ajaran Islam. Di samping ianya merupakan satu bentuk ibadah kepada Tuhan, bidang ini juga turut menjanjikan pulangan yang tinggi serta merupakan satu sumber rezeki terbaik dibandingkan dengan sumber pendapatan lain. Nabi Muhammad s.a.w. sendiri merupakan model usahawan yang sangat berjaya bukan hanya di peringkat domestik tetapi juga merentasi sempadan negara lain sebelum baginda diutuskan menjadi pembawa risalah agama Islam. Kejayaan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai seorang usahawan yang ditunjukkan melalui sikap gigih, dedikasi, sabar, dan amanah merupakan contoh terbaik untuk diikuti oleh usahawan muslim pada masa kini. Sehubungan itu, ajaran Islam menekankan proses pembentukan usahawan muslim yang berjaya namun dalam masa yang sama berpegang teguh kepada ajaran Islam. Justeru, pendidikan sepanjang hayat (life long learning) perlu diberi penekanan dalam proses pembentukan usahawan muslim berjaya.

       Buku ini sesuai digunakan sebagai rujukan, panduan, dan bahan bacaan oleh para usahawan, bakal usahawan, pakar motivasi keusahawanan, ahli akademik, ahli politik, dan para pelajar di institusi pengajian tinggi serta sesiapa yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam bidang keusahawanan.